Usia 16 tahun, saya pertama kali benar-benar terjebak dengan keindahan alam sekitar. Semua bermula bila saya menyertai Kelab Pencinta Alam di sekolah. Guru Penasihat kami, Cikgu Adnan membawa kami ke Air Terjun Langganan Poring, Ranau Sabah yang menjulang setinggi 120 meter - mungkin air terjun tertinggi di Sabah.
Ketika itu, Kamera smartphone belum wujud. Hanya ada kamera canon filem yang kami gunakan, entah hasilnya jadi atau tidak. Tapi itu tidak menghalang kegembiraan kami. Setiap langkah menuju air terjun terasa seperti petualangan yang mengajar kesabaran dan keberanian. Bunyi air, bau hutan, dan udara segar membuat hati saya tenang dan kagum.
Sejak hari itu, saya sedar bahawa setiap langkah di alam membawa sebuah cerita dari hati. Dari gunung ke bukit, dari air terjun ke sungai. Setiap pengalaman mengajar saya tentang keindahab, kesabaran, dan kekuatan diri.
💚Blog ini adalah catatan perjalanan saya: Pendakian gunung, air terjun, bukit, dan juga perjalanan melancong ke tempat-tempat lain. Semoga cerita saya memberi inspirasi, semangat, dan rasa kagum kepada sang Pencipta Alam.